Penduduk Malaysia 33.2 Juta, Kadar Kelahiran Hidup Meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Bilangan penduduk negara ini dianggarkan mencecah 33.2 juta setakat suku pertama tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, angka itu meningkat 1.6 peratus berbanding suku tahun pertama tahun lalu dengan 32.6 juta.

Beliau berkata, tiga negeri mencatatkan jumlah penduduk tertinggi pada suku tahun pertama tahun ini iaitu Selangor dengan 21.7 peratus diikuti oleh Johor (12.3 peratus) dan 10.4 peratus di Sabah.

“Jumlah penduduk ini merangkumi 30.4 juta atau 91.7 juta warga negara dan 2.8 juta atau 8.3 peratus bukan warga negara.

“Kenaikan berkenaan disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warga negara dan juga pertambahan penduduk bukan warga negara.

“Penduduk lelaki meningkat daripada 17.1 juta kepada 17.5 juta berbanding suku tahun pertama lalu, manakala, perempuan meningkat daripada 15.5 juta kepada 15.7 juta bagi tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warga negara adalah 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

“Penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) kekal pada 7.7 juta pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sementara itu, komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) meningkat kepada 23.1 juta daripada 22.6 juta berbanding suku pertama tahun lalu.

“Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.3 juta kepada 2.4 juta bagi tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang menjalankan Banci Ekonomi pada tahun ini.

“DOSM amat menghargai kerjasama daripada responden dalam memberikan maklumat kepada DOSM serta menjayakan banci ini.

“Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayarilayari www.dosm.gov.my,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzair berkata, jumlah kelahiran hidup sehingga suku pertama tahun ini merekodkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus iaitu 111,604 kelahiran berbanding 102,466 dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, statistik itu bagaimanapun menunjukkan penurunan trend berbanding suku tahun sebelumnya dengan 113,865 kelahiran.

“Rekod kelahiran bayi lelaki lebih tinggi dengan 57,654 berbanding 53,950 bagi bayi perempuan dan Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,148 kelahiran atau 18.9 peratus.

“Manakala, jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 361 kelahiran atau 0.3 peratus.

“Kumpulan umur ibu yang tertinggi direkodkan pada umur 30 hingga 39 tahun iaitu 57,491 (51.5 peratus) diikuti 20-29 tahun (41.6 peratus), 40 tahun dan lebih (5.3 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.6 peratus),” katanya.

Mohd Uzir juga berkata, sebanyak 47,767 kematian direkodkan pada suku tahun pertama tahun ini.

Katanya, angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 11.7 peratus berbanding suku tahun pertama tahun lalu dengan54,123 kematian.

Pada tempoh yang sama, beliau berkata, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,548 kematian atau 15.8 peratus manakalaPutrajaya terendah dengan66 kematianatau 0.1 peratus.

“Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,357 manakala perempuan sebanyak 20,410 manakala bilangan kematian individu berusia 60 tahun dan ke atas adalah yang tertinggi iaitu 33,687 atau 70.5 peratus diikuti oleh umur 41 hingga 59 (19.9 peratus), 15 hingga 40 tahun (7.1 peratus) dan 2.5 peratus untuk umur 0 hingga 14 tahun.

Beliau berkata, kematian disebabkan COVID-19 menurun 97.3 peratusatau 3,457 pada suku tahun pertama ini iaitu daripada 3,553pada suku 2022kepada 96 kematian

“Kematian disebabkan virus berkenaan menyumbang 0.2 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun pertama 2023.

“Selangor merekodkan kematian COVID-19 tertinggi dengan 31 kematian manakala tiada kematian direkodkan di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

– BERITA HARIAN