Penjawat Awam Diminta Tidak Terlibat Penerokaan Tanah Secara Haram

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Penjawat awam di negeri ini diminta tidak terlibat dengan aktiviti penerokaan tanah Kerajaan secara haram dan menyalurkan maklumat dengan segera sekiranya ada.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bagi memastikan pencegahan awal dalam menghalang aktiviti ini dapat dilaksanakan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memaklumkan dan memberitahu sebagai penjawat awam supaya tidak terlibat dalam kegiatan penerokaan tanah Kerajaan secara haram.

“Sebaliknya selaku penjawat awam, kerjasama tuan-tuan amatlah diharapkan untuk memberi maklumat berkaitan penerokaan tanah haram supaya kita mampu melaksanakan aktiviti pencegahan di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Permohonan Untuk Memiliki Tanah Kerajaan kepada 573 anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan di Pahang di Hotel Zenith.

Kesemua penerima telah menerima tanah pertanian dan juga tanah kediaman mengikut kategori yang diluluskan.

Beliau berkata, bagi memastikan aktiviti pencerobohan tanah secara haram ini dapat dihentikan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Unit Penguatkuasaan.

“Sebab itulah kita di Pahang telah tubuhkan Unit Penguatkuasa untuk kita memastikan supaya tidak ada berlaku aktiviti penerokaan haram.

“Bagaimana pun dalam kita menubuhkan unit penguatkuasaan masih lagi terdapat aktiviti ini dan Alhamdulillah banyak yang telah dapat dikesan dan telah diambil tindakan,” katanya.

Beliau dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri juga sentiasa berusaha memastikan sebarang isu pemilikan tanah dapat diselesaikan dalam kadar segera.

“Bagaimana pun semua urusan yang berkaitan dengan pemberi milikan tanah ini perlu melalui prosedur yang agak rumit serta mengambil sedikit masa.

“Ini semua adalah disebabkan tanah adalah satu sumber yang terhad dan perlu supaya memastikan pembangunan tanah dapat dilaksanakan secara terancang dan sistematik bagi menggalakkan pelaburan secara komersial,” katanya.

Sumber  : PAHANGMEDIA