PM Umum Cadangan Pembinaan Litar Drag di Setiap Negeri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Kerajaan berhasrat bagi membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada bulan Oktober ini.

“Setakat ini sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak di sini, hari ini.

Beliau berkata apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa menyokong dan mengetengahkan minat anak mudah dalam bidang permotoran dan aktiviti sihat seperti ini, sekali gus mengurangkan tanggapan negatif kepada golongan penunggang motorsikal.

Katanya kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab-kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

Perdana menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran program yang menerima lebih 30,000 kunjungan peminat sukan permotoran diari seluruh negara.

Pada perhimpunan itu penganjur turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Yamaha R1 1000cc bernilai RM135,000 serta dua buah Yamaha RXZ bernilai RM60,000.

Turut hadir pada himpunan tersebut, Menteri Besar Negeri Terengganu  Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM