Program Titanium Bantu Julang Johor SUKMA Ke-20

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU – Kontinjen Johor yang muncul juara Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali pertama pada temasya edisi ke-20 di Lembah Klang, minggu lalu, mencapai kejayaan itu menerusi pelaksanaan Program Titanium yang diperkenalkan pada 2018.

Ketua Unit Atlet dan Sains Sukan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohammad Syafiq Hassan berkata mentaliti dan kepercayaan kepada konsep `believe’ yang diperkenalkan sebelum temasya berkenaan menjadi intipati utama bagi merealisasikan kejayaan.

Katanya, seluruh pegawai dan kakitangan semua persatuan sukan di Johor memainkan peranan penting apabila sentiasa bekerjasama dengan MSNJ menerusi program Titanium yang memberi penekanan kepada program Titanium merangkumi tiga fasa iaitu Program Platinum, Atlet Projek dan Emas.

“Pembabitan sains sukan secara menyeluruh dalam pembangunan atlet di peringkat akar umbi sehingga ke peringkat prestasi tinggi ternyata membuahkan hasli menerusi Program Platinum, Program Atlet Projek dan Program Emas.

“Kami di MSNJ juga mengamalkan semangat `trust the process’ yang sememangnya dikekalkan sejak SUKMA Perak 2018 dengan perancangan rapi dan memberi masa membentuk atlet supaya bersedia bertanding pada SUKMA ke-20.

“Tidak dinafikan ianya perlu masa bagi memastikan atlet sudah matang apabila beraksi. Malah Program Titanium yang diperkenalkan sejak 2017 membuahkan hasil apabila pungutan pingat semakin meningkat selepas SUKMA ke-18 di Sarawak apabila merangkul 19 emas, 25 perak dan 31 gangsa.

“Kesinambungan pencapaian kontinjen Johor pada SUKMA ke19 di Perak meningkat dengan 29 emas, 34 perak dan 37 gangsa,” katanya di sini, hari ini.

SUKMA 2022 menutup tirainya pada Sabtu lalu, menyaksikan kontinjen Johor muncul juara keseluruhan buat julung kalinya dengan kutipan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa manakala Terengganu di tangga kedua, 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.

Mohammad Syafiq berkata, untuk persiapan pada SUKMA ke-21 nanti, hampir 20 hingga 30 peratus atlet yang bertanding pada SUKMA ke-20 akan meneruskan persaingan bagi mempertahankan kejuaraan.

Bagaimanapun, katanya, untuk mengekalkan kejuaraan ianya perkara yang tampak sukar tapi MSNJ sudah bersiap sedia dengan modul yang dirangka dengan penambahbaikan terutama aspek sains sukan.

“Kebajikan atlet dan jurulatih selain program latihan serta pembangunan atlet baharu di peringkat daerah juga perlu terus dipergiatkan lagi supaya kumpulan atlet berbakat dapat dicungkil,” katanya.

Mohammad Syafiq juga tampak lega apabila tiada atlet dari Johor yang terbabit dengan penyalahgunaan barang terlarang yang boleh menyebabkan penyertaan atlet pada SUKMA ke-20 dibatalkan

“MSNJ sentiasa memantau pengambilan makanan tambahan atlet bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam penyalahgunaan barangan terlarang. Malah kami juga menyediakan pegawai pemakanan dari badan induk sukan negeri yang akan meluluskan segala ubat-ubatan dan makanan tambahan,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN