Remaja Direman Bantu Siasatan Kes Kebakaran Pondok di Marang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Seorang remaja lelaki ditahan reman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes kebakaran di asrama Madrasah dan Pondok Al-Huda, Kampung Lubuk Perah dekat sini, petang semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda setelah mendapat permohonan daripada pihak polis untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Remaja berusia 14 tahun tersebut tiba di perkarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 9 pagi diiringi oleh anggota polis.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 6 petang Isnin, pemilik madrasah berkenaan menyedari kebakaran berlaku di bilik kuliah dan mendapati tilan yang berada di dalam bilik tersebut telah terbakar.

Pemilik madrasah kemudian terus menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan dan tidak lama kemudian, kebakaran kedua dikesan di bilik asrama dan semasa bomba tiba, berlaku kebakaran ketiga di bilik tumpangan berhampiran surau madrasah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya mengesyaki terdapat unsur jenayah dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, kebakaran yang berlaku pada tempat berlainan dengan corak yang sama serta bahan bukti kita dah ambil dan akan dibawa ke makmal untuk analisa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komosioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi telah mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Sumber: BERNAMA