Sarawak United Diberi Tempoh 14 Hari Langsai Tunggakan Gaji

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Sarawak United FC tidak boleh berlengah lagi dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji selama empat bulan yang membelenggu pasukan itu seandainya tidak mahu ‘direhatkan’ daripada saingan Piala Malaysia musim ini.

Peringatan itu dilontarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menegaskan pengurusan skuad The Crocs perlu menyelesaikan tunggakan itu dalam tempoh dua minggu bagi mengelak dikenakan hukuman susulan daripada bada pengendali terbabit.

“MFL memandang serius isu tunggakan gaji yang berlaku membabitkan Sarawak United. Justeru MFL mengarahkan Sarawak United untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh 14 hari berkuatkuasa hari ini (Jumaat).

“Seandainya gagal berbuat demikian, tindakan susulan akan diambil di mana kemungkinan slot bertanding di Piala Malaysia tahun ini tidak akan diberikan,” kata MFL dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, MFL sudahpun langkah proaktif bagi membantu meringankan beban pemain Sarawak United seepas menyalurkan RM100,000 kepada pemain pasukan yang diambil daripada hak penyiaran mereka.

Sebagai rekod, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mengesahkan menerima laporan mengenai tunggakan gaji selama empat bulan membabitkan pemain Sarawak United sehingga ada pemain dihalau dari tempat tinggal.

Menerusi satu kenyataan media, PFAM mengakui sudah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United.

Jelas PFAM, walaupun ada pergerakan pembayaran dilakukan, ia tidak dibayar secara penuh seperti mana nilai yang dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.

Bagaimanapun, Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais mengesahkan pengurusan pasukan terbabit akan menyelesaikan semua tunggakan gaji selewat-lewatnya minggu depan.

Posa berkata, peruntukan untuk pembayaran gaji termasuk yang tertunggak sudah diluluskan beberapa hari lalu.

Sumber : BERITA HARIAN