Sultanah Kelantan Terima Menghadap Pertubuhan PKDK

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Sultanah Kelantan Nur Diana Petra Abdullah semalam berkenan menerima menghadap rombongan Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) di Istana Negeri Kubang Kerian, di sini.

Unit Media Pejabat Sultan Kelantan dalam satu hantaran di laman Facebook memaklumkan rombongan beberapa ahli pertubuhan PKDK itu diketuai oleh Presidennya Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir Tengku Sri Kelantan D’ Raja Kelantan Datuk Seri Raja Rezza Shah, Tengku Kaya Perkasa Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan pegawai-pegawai Istana Kelantan.

Sultanah Nur Diana Petra turut berkenan mengurniakan cenderamata kenangan kepada semua ahli rombongan pada majlis itu.

Sebagai rekod, ini merupakan kemunculan pertama Sultanah Nur Diana Petra di Istana Negeri selepas Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan mengisytiharkan isteri baginda sebagai Sultanah Kelantan pada 2 Ogos lepas.

Sumber : BERNAMA