Suntikan vaksin bawah 12 tahun masih dalam perbincangan – Khairy

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Suntikan vaksin bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun masih dalam perbincangan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, terdapat dua perkara berkaitan membabitkan suntikan berkenaan.

“Pertamanya adalah kelulusan, hanya satu negara sahaja meluluskan vaksin Pfizer iaitu Amerika Syarikat namun mereka belum bagi lagi memberi maklumat kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk membuat penilaian dan Sinovac sudah memberi maklumat berkenaan tetapi kita minta maklumat tambahan.

“Yang kedua ialah proses perolehan yang mana kita mahu beli tetapi masih lagi sangkut sebab ada beberapa syarat daripada pihak pembekal Pfizer yang sedang dirunding,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Zaini Hussin.

Media sebelum ini melaporkan, panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengesyorkan vaksin Pfizer untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun, selepas penelitian agensi berkenaan mendapati manfaat suntikan pelalian itu melebihi risiko.

Mengulas persediaan banjir di Kelantan, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 539 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sekiranya berlaku banjir.

Katanya, selain itu, sebanyak 20 PPS perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) di semua daerah akan dibuka bagi menempatkan mereka yang positif atau kontak rapat Covid-19.

Sumber: My Metro