Suspek Kejar Ibu Mentua, Langgar Polis Disambung Reman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN: Suspek yang dipercayai melanggar seorang anggota polis sekali lagi dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah reman dan kali ini bagi tujuan siasatan kes pergaduhan dengan ibu mentuanya.

Suspek seorang buruh kelapa sawit dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman, pagi ini dan Majistret, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin mengeluarkan perintah reman selama tiga hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, perintah reman ke atas suspek yang berusia 51 tahun bermula hari ini sehingga Ahad.

“Dengan perintah reman ini membolehkan pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ ) menjalankan siasatan berhubung tindakan suspek yang didakwa mengetuk kenderaan ibu mentuanya dengan menggunakan kayu.

“Kes ini kita akan siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana ugutan jenayah,” katanya.

Sebelum itu, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Dalam kejadian Ahad, suspek dikatakan bergaduh dengan ibu mentuanya yang berusia 69 tahun dipercayai membabitkan perebutan harta di antara mereka, kira-kira jam 11.30 pagi.

Suspek kemudiannya bertindak memukul beberapa bahagian pada kereta ibu mentuanya jenis Perodua Axia dengan menggunakan kayu.

Ibu mertua mangsa yang ketakutan, kemudiannya memandu keretanya ke Balai Polis Chukai untuk meminta perlindungan sebelum dikejar suspek yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

Sebaik tiba di jalan Dato Chukai dan ketika cuba memotong kereta ibu mentuanya itu, kenderaan dipandu suspek dikatakan terlanggar Sarjan Marina Ahmad sehingga patah bahu.

Sumber: METRO