Ukraine Teruskan Impian ke Piala Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GLASGOW – Pengurus Ukraine, Oleksandr Petrakov menghadiahkan kemenangan 3-1 pasukannya mengatasi Scotland untuk mara ke final playoff Piala Dunia kepada mereka yang sedang berjuang mempertahankan tanah air mereka.

Dalam perlawanan kompetitif pertama sejak Ukraine diceroboh Russia, Andriy Yarmolenko, Roman Yaremchuk dan Artem Dovbyk masing-masing menjaringkan gol untuk menempah pertemuan dengan Wales pada Ahad seterusnya peluang ke Qatar hujung tahun ini.

“Kejayaan ini bukan untuk saya atau pasukan, ia untuk negara kami. Ini adalah kemenangan besar buat Ukraine,” kata Petrakov.

“Mereka melakukan apa sahaja untuk orang yang mereka sayangi, rakyat Ukraine.

“Kepada mereka yang melihat dari negara kami: tentera yang sedang berjuang, mereka yang bekerja di hospital. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kami dan kami mengucapkan terima kasih kepada mereka.”

Perlawanan berkenaan dijadualkan semula daripada Mac, hanya seminggu selepas perang bermula bagi memberikan Ukraine peluang melengkapkan jadual.

Enam daripada kesebelasan utama pelawat masih ada kontrak dengan kelab Ukraine dan tidak bermain secara kompetitif sejak sebulan lalu.

Pemain Manchester City, Oleksandr Zinchenko menangis sebelum perlawanan apabila dia menggambarkan betapa besarnya perlawanan itu yang boleh membawa Ukraine ke Piala Dunia.

Sumber: BERITA HARIAN