SEGMEN TERKINI

MANIS XPRES

3pm - 7pm

Wanita Muslim India ‘dilelong’ di laman web

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Polis Delhi mendaftarkan kes setelah Suruhanjaya Wanita Delhi membangkitkan perkara ini. (Reuters / Fail)

Golongan wanita beragama Islam di India berdepan penghinaan yang sangat memalukan apabila ratusan daripada mereka ‘dilelong’ dalam laman web dan aplikasi yang dikenali sebagai ‘Sulli Deals’. Para wanita tersebut juga turut menerima ancaman bunuh dan ugutan rogol.

Kebanyakan mangsa yang terlibat aktif dalam media sosial seperti Twitter, mendapati gambar profil mereka dipaparkan dalam Github iaitu platform laman web menggunakan aplikasi sumber terbuka seperti ‘Sulli Deal of the Day’.

Aplikasi itu memberi peluang kepada penggunanya ‘membida’ wanita Islam yang mereka suka dalam lelongan secara main-main.

Sehubungan itu, polis kini menyiasat dalang di sebalik insiden tersebut dan Github dilaporkan sudah menutup laman web berkenaan kerana ‘melanggar polisi’.

Namun, keputusan itu tidak berjaya meredakan kemarahan mangsa wanita tersebut kerana istilah ‘sulli’ yang digunakan di dalam laman web adalah satu perkataan penghinaan bagi wanita Islam yang biasanya sering digunakan oleh nasionalis Hindu.

Pada Khamis lalu, polis Delhi memfailkan satu kes terhadap ‘individu tidak diketahui’ mengikut perundangan 354A Seksyen IPC (serangan seksual) susulan satu aduan yang diterima menerusi Portal Laporan Jenayah Siber Kebangsaan.

“Polis sudah membuka kertas siasatan untuk isu ini dan kami akan menyiasat dengan teliti,” kata jurucakap polis Delhi, Chinmoy Biswal seperti yang dipetik Arab News.

Namun, segelintir wanita berasa ragu-ragu polis akan melakukan siasatan terperinci mengenai kes berkenaan.

Sementara itu, banyak gambar wanita yang dimuat naik dalam laman web berkenaan terdiri dari personaliti wanita Islam terkenal termasuk penyelidik, juruterbang, wartawan dan seniman.

Terdapat sebahagian wanita yang merupakan mangsa menyatakan mereka akan mencari pelaku dan mendakwa pelaku tersebut. Menurut Nabiya Khan, seorang penulis di India tindakan ini adalah tindakan berbentuk Islamofobia yang menghina wanita.

Sumber : Arab News & Utusan