Yayasan RYTHM, ECOMY Tubuhkan ‘Sekulah Bateq’ di Kuala Tahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Yayasan RYTHM iaitu inisiatif impak sosial QI Group telah berganding bahu dengan Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY) dalam memberikan sokongan dari segi akademik kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan, Jerantut, menerusi projek Sekulah Bateq.

Modul akademik projek tersebut telah direka hasil perbincangan dengan Tok Batin dan suku kaumnya bagi memastikan ia bersesuaian dengan keperluan mereka, contohnya program akan merangkumi kemahiran membaca, menulis dan mengira selain pendidikan tentang kebersihan dan keselamatan.

Projek tersebut membabitkan penyediaan kelas akademik untuk 20 murid prasekolah serta 10 murid sekolah rendah suku kaum Bateq dan akan dikendalikan oleh beberapa guru sekolah arus perdana yang berpengalaman dengan budaya Orang Asli, termasuk guru daripada kalangan masyarkat tersebut.

Pengasas dan presiden ECOMY  Andrew Sebastian berkata sebahagian masyarakat Orang Asli ini bergantung hidup kepada purata pendapatan isi rumah serendah RM300 sebulan, menjadikan mereka tergolong dalam penduduk miskin tegar di negara ini

“Jadi, kami perlu melakukan sesuatu bagi membantu mereka, terutama apabila mereka cuba berusaha meningkatkan dan membangunkan diri masing-masing.

“Permintaan bagi mendapatkan bantuan pendidikan oleh Tok Batin dan suku kaumnya sukar untuk kami tolak kerana tanpa akses pendidikan yang sewajarnya, ramai dalam kalangan masyarakat Orang Asli ini akan terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan terpaksa bergelut untuk hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau kajian mendapati bahawa hampir 50 peratus murid Orang Asli tidak bersekolah menengah kerana berhenti sebaik tamat sekolah rendah, selain hanya kira-kira 30 peratus daripada anak-anak ini  menamatkan persekolahan mereka.

Sementara itu, pemimpin suku kaum Bateq dikenali sebagai Tok Batin Hussin Dayak berkata mereka memohon didirikan Sekulah Bateq dengan harapan dapat ia memperbaiki masa depan golongan tersebut.

“Sebelum ini, kami tidak ada peluang untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan ketika ini, majoriti anak-anak ini tidak tahu membaca mahupun menulis. Ini memberi kesan kepada peluang kami mendapatkan pekerjaan yang diperlukan, sekali gus menyukarkan kami untuk meraih pendapatan lebih baik.

“Dengan memberi pendidikan kepada anak-anak kami, akan meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, selain memberi keyakinan kepada mereka dalam menempuh masa depan. Harapan saya Sekulah Bateq ini menjadi langkah ke arah membangunkan kehidupan kami pada jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Yayasan RYTHM  Santhi Periasamy berkata usaha meningkatkan akses pendidikan untuk kanak-kanak Orang Asli di Malaysia sangat penting dan tepat pada masanya, memandangkan data Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menunjukkan bahawa prospek pendapatan adalah lebih baik bagi kanak-kanak yang sekurang-kurangnya dapat menamatkan sekolah menengah.

“Kami yakin dengan projek bersama ECOMY ini bagi membantu masyarakat suku kaum Bateq kerana kami telah melihat pencapaian hebat melalui program hampir sama yang sedang berjalan sekarang bersama rakan kongsi kami di Sabah. Kami berharap dapat menghasilkan kejayaan yang sama dengan suku kaum Bateq di Pahang dan memberi mereka akses pendidikan berkualiti yang sama rata dengan murid lain dalam masyarakat yang berbilang budaya di Malaysia,” katanya.

Sumber: BERNAMA