3 Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Samun Berkawan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Tiga lelaki ditahan termasuk seorang daripadanya memiliki 13 rekod lampau berkaitan dadah bagi membantu siasatan tiga kes samun berkawan.

Semua mereka ditahan secara berasingan awal pagi kelmarin oleh sepasukan pegawai dan anggota cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata tangkapan pertama dibuat di sekatan jalan raya Batu Melintang, Jeli, pada jam 12.30 tengah malam kelmarin membabitkan seorang pemandu treler berusia 33 tahun.

“Pemeriksaan di badan suspek tidak menemui barang salah dan hasil semakan, lelaki itu memiliki 13 rekod lampau bersabit dadah.

“Tangkapan seterusnya dibuat jam 4.15 pagi di kawasan Gerik, Perak membabitkan seorang kelindan treler berusia 21 tahun,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, tangkapan kedua-dua lelaki itu membawa kepada serbuan seterusnya di sebuah rumah di Jalan Wan Ahmad, Tanah Merah pada jam 5.15 pagi semalam.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 28 tahun dengan tujuh rekod lampau berkait dadah ditahan untuk membantu siasatan.

“Bagaimanapun ketiga-tiga suspek yang berasal dari Tanah Merah itu tidak mengaku terbabit dalam tiga kes samun yang dilaporkan di Jeli, Perak dan Tanah Merah.

“Mereka direman empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan samun berkawan tanpa senjata api.

“Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN