Enam Fasilti Kesihatan di Terengganu Rosak Teruk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Enam klinik desa di Terengganu masih ditutup disebabkan rosak teruk akibat banjir yang melanda pada 18 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Kasemani Embong, berkata ia membabitkan lima Klinik Desa (KD) di Besut dan satu di Dungun, yang perlu dibaik pulih.

Berikutan keadaan itu, beliau berkata, operasi klinik berkenaan dipindahkan ke fasiliti berdekatan bagi memastikan perkhidmatan serta rawatan kepada pesakit dapat diteruskan seperti biasa.

“Di Besut, KD yang terbabit ialah KD Alor Keladi, KD Tembila, KD FELDA Tenang, KD Alor Lintah dan KD Bukit Payung, manakala di Dungun, KD Kuala Jengal.

“KD Tembila, KD Felda Tenang, KD Alor Lintah dan KD Bukit Payung akan beroperasi kembali pada 1 Januar ini, manakala KD Alor Keladi dan KD Kuala Jengal, tarikh pengoperasian semula akan diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Kasemani berkata, tiada wabak penyakit berjangkit dilaporkan berlaku di semua 315 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka dalam tempoh banjir.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan aktiviti kawalan pasca banjir di PPS serta lokaliti banjir bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit dan kawalan vektor.

“Bagi aktiviti kawalan vektor, 3,788 premis diperiksa dan hanya satu premis didapati positif pembiakan nyamuk. Tiada kehadiran lipas, lalat dan tikus ditemui. Pengurusan sampah-sarap diuruskan dengan baik oleh komuniti setempat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan makan dan minum daripada sumber yang tidak dimasak bagi mencegah penyakit bawaan air dan makanan.

“Ibu bapa juga perlu mengawasi anak-anak daripada bermain air banjir kerana dikhuatiri tercemar dan terdedah kepada risiko penyakit berjangkit seperti cirit birit, kolera, tifoid dan leptospirosis,” katanya.

Sumber: BERNAMA