Harrif Juarai Peringkat Kelima Tour De Taiwan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Harrif Saleh mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menghadiahkan kejuaraan buat pasukan itu apabila menjuarai peringkat kelima Tour de Taiwan, hari ini.

Pada perlumbaan peringkat terakhir sejauh 149.83 kilometer (km) di Dapeng Bay itu, Harrif memastikan kejuaraan kali ini menjadi miliknya menerusi pecutan pada 200 meter (m) yang terakhir sekali gus menjadi pelumba pertama tiba di garisan penamat.

Pelumba berusia 34 tahun itu mengatasi pelumba Team UKYO, Raymond Kreder yang menamatkan saingan di kedudukan kedua manakala tempat ketiga menjadi milik Luke Lamperti dari Trinity Racing.

Harrif sebelum ini turut berjaya menaiki podium sebanyak dua kali apabila menamatkan saingan di tempat kedua pada peringkat keempat, semalam dan peringkat pertama, Ahad lalu.

“Hari ini perlumbaan terakhir Tour de Taiwan dan saya sangat gembira dapat memenangi perlumbaan di tempat pertama. Perlumbaan hari ini, rakan sepasukan saya memberikan 100 peratus untuk membawa saya ke depan.

“Pada 200m yang terakhir, saya fokus untuk melakukan pecutan dan rezeki saya untuk mendapat tempat pertama hari ini. Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan TSG, memang rezeki saya kali ini,” katanya.

Harrif selepas ini akan mengalihkan fokusnya terhadap persiapan bagi menghadapi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini.

“Insya-Allah di Langkawi nanti, saya berjanji akan buat yang terbaik,” kata Harrif.

Sumber : BERITA HARIAN