Pendaki Dinasihati Lapor Diri, Dapatkan Maklumat Daripada Operator Kawasan Terlebih Dahulu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Para penggiat sukan pendakian dinasihati supaya melaporkan diri kepada operator kawasan pendakian dan mendapatkan maklumat mengenai keadaan semasa daripada mereka sebelum memulakan aktiviti mendaki.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata hal itu penting bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, apatah lagi ketika musim Monsun Timur Laut masih belum berakhir.

Beliau berkata pendaki perlu mendapatkan maklumat adakah selamat atau tidak satu-satu tempat itu, kerana operator yang menjaga kawasan berkenaan pastinya lebih tahu mengenai keadaan semasa kawasan itu.

“Sekiranya kawasan itu tidak ada operator, mereka perlu maklumkan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) yang terdekat atau balai polis dan bomba supaya kita tahu kedudukan mereka, dan sekiranya ada kecemasan senang untuk kita tahu berapa ramai (yang terlibat) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kejadian seorang pendaki Haniff Harun, 47, yang ditemukan lemas di Sungai Tanum, Taman Negara Merapoh ketika turun dari Gunung Tahan berdekatan Kuala Juram, Merapoh di Lipis, Pahang baru-baru ini.

Allahyarham yang berasal dari Kuala Terengganu bersama sembilan pendaki dilaporkan memulakan pendakian ke Gunung Tahan melalui Merapoh pada 20 Jan dan dijadualkan turun pada Selasa lepas, bagaimanapun, cuaca buruk menyebabkan kumpulan itu yang dipandu malim gunung berpatah balik ke Kuala Jarum selain perlu menyeberangi Sungai Tanum.

Sumber : BERNAMA