Ringgit melonjak tinggi pada hari kedua selepas pelantikan PM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatan pada kadar tinggi berbanding dolar AS dengan mengukuhkan 0.9 peratus kepada RM4.45 sedolar pada jam 9.30 pagi, mencerminkan sentimen pelabur dan peniaga terus positif berikutan selepas kemelut politik pembentukan kerajaan dilihat semakin reda.

Selain itu, kenaikan turut didorong bank pusat AS, Rizab Persekutuan AS yang memberi isyarat akan memperlahankan kenaikan kadar faedah untuk menangani inflasi.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pergerakan aktif dalam pasaran saham Malaysia berikutan pelantikan Perdana Menteri baharu turut membantu ringgit untuk menarik pelabur asing ke negara ini.

“Bagaimanapun, pemacu sentimen utama pada masa hadapan ialah kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan seperti yang terkandung dalam minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC),” katanya kepada Bernama.

Namun begitu, pasaran dijangka lengang kerana AS akan meraikan cuti Hari Kesyukuran pada hujung minggu ini.

Ringgit Malaysia mengukuh hampir 2.0 peratus semalam, peningkatan harian terbesar sejak Mac 2016 dan mendorong mata wang itu ke paras tertinggi dalam hampir tiga bulan iaitu Ogos lalu setelah krisis politik selesai.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, pada petang semalam.

Pelantikan itu dimuktamadkan selepas Seri Paduka menimbang pandangan Raja-Raja Melayu yang mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara.

Sebelum ini, Anwar sudah menyatakan beliau bertekad mahu meringankan kos sara hidup selain memperkasakan perniagaan besar, kecil dan sederhana di dalam negara.

Sumber: BERITA HARIAN