Terengganu Perkenal Sistem Repositori Digital ‘Terengganu Lawnet’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sumber gambar : FB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu hari ini melancarkan ‘Terengganu Lawnet’ iaitu sistem repositori digital bagi dokumen perundangan secara bersepadu yang boleh diakses dengan lebih mudah oleh mana-mana pihak yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata Terengganu Lawnet dibangunkan hasil kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan sekumpulan pakar penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Beliau berkata pengumpulan semua dokumen perundangan dalam satu sistem bersepadu digital itu juga akan memudahkan bakal pelabur untuk memperoleh maklumat berkenaan undang-undang di Terengganu.

“Ia boleh dijadikan rujukan sehenti yang komprehensif membantu pentadbir, agensi kerajaan, pelabur dari dalam dan luar negara serta rakyat Terengganu untuk mendapatkan maklumat mengenai perundangan negeri Terengganu yang tepat dan terkini.

“Seiring perkembangan revolusi industri (IR 4.0), maklumat terkini dan sahih secara maya dalam talian amat diperlukan. Tambahan pula terdapat pelbagai undang-undang dan peraturan yang terpakai di Terengganu berbeza dengan negeri-negeri lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Yahaya Ali.

Mengulas lanjut, Tengku Hassan berkata Terengganu Lawnet akan diperluaskan dalam bentuk aplikasi yang boleh dimuat turun ke telefon pintar dalam masa terdekat untuk lebih mudah diakses sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

“Saya akan memperkenalkan Terengganu Lawnet ini kepada 200 pelabur dalam seminar anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur pada 25 Ogos depan untuk menarik minat mereka melihat potensi pelaburan di Terengganu.

“Kerajaan negeri juga akan terus menambah baik inovasi dan inisiatif sebegini agar kita kekal relevan mengikut masa dan suasana yang sangat cepat berubah demi kebaikan semua pihak yang membawa manfaat untuk rakyat,” katanya.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM