Terengganu tambah satu lagi PKRC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Terengganu akan menambah satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bermula esok susulan peningkatan mendadak kes positif yang berlaku semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, PKRC tersebut beroperasi di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Besut dengan kapasiti 392 katil.

“Sekiranya keadaan masih tidak terkawal, kita bercadang untuk menambah lagi dua PKRC iaitu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu (400 katil) dan Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Hulu Terengganu (350 katil),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Ketika ini, Terengganu mempunyai enam PKRC di seluruh negeri dengan kapasiti 2,967 katil iaitu Universiti Teknologi MARA Kuala Terengganu (1,128 katil), Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman (750 katil), Universiti Malaysia Terengganu (484 katil), Penjara Marang (220 katil), Kem Wawasan Besut (200 katil) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuala Terengganu (185 katil).

Semalam, Terengganu merekodkan 883 kes jangkitan baharu COVID-19 iaitu kes tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik berlaku.

Daripada jumlah itu, Kemaman merekodkan kes tertinggi iaitu 291 kes diikuti Kuala Terengganu (195 kes), Dungun (179 kes), Marang (79 kes), Setiu (60 kes), Kuala Nerus (53 kes), Besut (23 kes) dan Hulu Terengganu (tiga kes).

Sebanyak 860 kes membabitkan penularan tempatan manakala kes import B (14 kes), kes import C (8 kes) dan kes orang kena tahan (satu kes) menerusi 15 kluster yang terlibat.

Pada 30 Julai, Terengganu hanya merekodkan 258 kes Covid-19 dengan lima kematian.

Ketika ini, empat kawasan di Terengganu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Mukim Kuala Dungun, Dungun; Mukim Bandi, Kemaman; Kampung Teluk Menara di Manir dan Padang Kubu di Terengganu.

Sumber: My Metro