UiTM kurangkan yuran konvokesyen

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) melaksanakan pengurangan yuran konvokesyen sebanyak RM40 bagi tiga sesi iaitu 93, 94 dan 95 yang dikenakan kepada graduan bagi semua peringkat pengajian ijazah dan diploma.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Nora Noordin berkata, keputusan terbabit dibuat pengurusan tertinggi universiti itu selepas mengambil maklum situasi semasa.

“Pengurangan yuran konvokesyen ini diberi secara automatik kepada semua peringkat pengajian ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda, program profesional dan diploma.

“Ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar oleh graduan yang mana kadar yuran konvokesyen yang dikenakan kepada graduan pada setiap sesi konvokesyen adalah antara RM150 hingga RM230 mengikut peringkat pengajian.

“Melalui pengurangan sebanyak RM40, graduan hanya perlu membayar antara RM110 hingga RM190 sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah pengurangan bagi semua graduan sesi Konvokesyen ke-93, 94 dan 95 adalah berjumlah RM3 Juta.

Jelasnya, UiTM merancang untuk melaksanakan istiadat konvokesyen secara fizikal namun, penularan Covid-19 yang masih lagi serius membantut usaha itu kerana keselamatan dan kesihatan umum perlu diutamakan.

Katanya, pengurusan tertinggi UiTM turut memutuskan bahawa sama ada istiadat konvokesyen secara fizikal boleh dilaksanakan atau tidak pada tahun ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa.

Mengulas lanjut, Nora berkata, graduan yang sudah membuat bayaran yuran konvokesyen akan dimaklumkan untuk mengisi e-Borang Pemulangan Yuran Konvo ke-93 bagi pemulangan RM40.

Katanya, bagi graduan yang belum membayar yuran konvokesyen, bil yuran akan dibatalkan dan akan dijanakan bil yuran yang baharu.

“Sila layari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my untuk maklumat lanjut. Untuk makluman, UiTM juga mengurangkan yuran konvokesyen dengan jumlah yang sama membabitkan konvokesyen pada sesi ke-92 serta mengendalikannya secara janji temu berikutan isu yang sama pada tahun lalu,” katanya.

Sumber: My Metro