134 Mangsa Banjir Dipindahkan di Raub dan Lipis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sebanyak tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di dua daerah iaitu Raub dan Lipis membabitkan seramai 134 mangsa.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata, kesemua mangsa daripada 33 keluarga kini ditempatkan di kesemua PPS berkenaan.

“Seramai 117 mangsa banjir di Raub di tempatkan di enam PPS iaitu PPS Surau Kampung Peruas, PP Pamah Rawas, Balai Raya Pamah Kulat, Balai Raya Kampung Keloi, Balai Raya Kampung Jenud, dan PPS Ulu Atok.

“Manakala kesemua 17 mangsa di Lipis telah ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Budu,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa tren air banjir di Daerah Lipis adalah menurun manakala laluan Benta-Jerantut pula akan mula dibuka kepada semua kenderaan menjelang tengahari nanti.

Katanya, beliau turut dimaklumkan bahawa siren Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhampiran sungai juga berfungsi dengan baik untuk memberi amaran awal kepada orang ramai khususnya penduduk setempat.

Justeru, beliau menasihati orang ramai khususnya yang berada di kawasan berisiko banjir supaya segera berpindah sekiranya mendengar amaran daripada siren JPS selain berhubung terus dengan pemimpin komuniti masyarakat setempat seperti ketua kampung, penghulu dan sebagainya.

“Patuhi arahan daripada pihak Pejabat Daerah atau pun Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di daerah masing-masing,” katanya.

– PAHANGMEDIA