200 Kampung Dipertimbang Pasang Internet Satelit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kerajaan merancang memasang internet satelit di 200 kampung di seluruh Kelantan untuk membolehkan penduduk menikmati rangkaian internet yang lebih baik.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kesemua penempatan yang terbabit adalah lokasi yang sukar diakses sama ada di luar bandar atau jauh di pedalaman.

Katanya, bagaimanapun kajian dan penyelidikan dilaksana dahulu untuk memastikan penyelesaian masalah internet di kawasan berkenaan adalah bersesuaian.

“KKD akan membuat satu kertas kerja untuk memohon penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengatasi jurang digital terutama di kawasan pedalaman.

“Selain itu, saya juga sedia berjumpa dengan Exco negeri bagi memberi penjelasan supaya manfaat daripada projek ini sampai kepada rakyat,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan Bakul Aidilfitri kepada 200 asnaf dalam program Ziarah Komuniti Madani di sini hari ini.

Menurut Fahmi, secara keseluruhan, masih ada tiga peratus iaitu 3,000 kawasan berpenduduk di seluruh negara yang belum menerima capaian 4G dan memerlukan penyelesaian berbeza.

“Di Kelantan, kita menerima maklumat bahawa banyak kawasan yang tidak menerima akses internet laju berkemungkinan besar kerana faktor penempatan yang tidak mempunyai ekonomi pesat.

“Jadi, tempat sebegini memerlukan penyelesaian internet yang sedikit berbeza. Selain itu, syarikat telekomunikasi melihat kawasan berkenaan tidak mempunyai peluang pemasaran tetapi isu ini sedang dibincangkan,” katanya.

Sumber: METRO