9,350 kilogram minyak masak dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 9,350 kilogram minyak masak bernilai RM23,375 melalui serbuan di Kampung Rogayah, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, dalam operasi bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tumpat, pihaknya menggeledah sebuah stor simpanan disyaki menyimpan minyak masak hasil risikan selama seminggu.

Katanya, seorang lelaki berusia 50-an turut ditahan dipercayai cuba membawa bekalan barangan berkenaan ke Thailand melalui jalan sungai di sepanjang Sungai Golok.

“Penyeludup menggunakan modus operandi menjadikan stor di sempadan negara iaitu di laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara.

“KPDNHEP memberi amaran dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa saja yang melakukan penyelewengan terutamanya berhubung barang kawalan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azanizam berkata, KPDNHEP Kelantan menjalankan 683 pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Akta Kawalan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Melalui pemeriksaan terbabit, KPDNHEP mengambil 11 tindakan antaranya kerana pemilik premis gagal membuat penandaan bagi laluan keluar masuk dengan nilai kompaun sebanyak RM10,000 bagi setiap kes,” katanya.

Sumber: My Metro