Perkongsian Data Lancar Urusan Setiap Jabatan, Bantu Rakyat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kejayaan Pahang menyempurnakan pemberian bantuan banjir seratus peratus kepada semua mangsa terlibat merupakan satu bukti hasil daripada kerjasama perkongsian data yang efisen.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, ia dimantapkan lagi dengn inisiatif Teras Pemerkasaan Modal Insan dan Tadbir Urus Pendigitalan dalam Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

Menurutnya, melalui inisiatif analitis data raya ini, Kerajaan Negeri akan mendapat faedah terutamanya dari aspek perancangan dan pemantauan yang lebih tepat dan berfokus.

“Perkhidmatan kita kepada rakyat sebenarnya borderless sama ada perkhidmatan biasa mahupun kritikal dilalui setiap tahun seperti bencana, pandemik dan sebagainya.

“Beberapa tahun kebelakangan, kerjasama erat di peringkat jabatan berjaya buat kita atasi (situasi kritikal) pandemik, rasa bertuah kerana jabatan-jabatan di negeri Pahang bagi perkhidmatan tanpa mengira dari mana.. tumpuan hanya kepada rakyat.

“Apa yang lebih penting kerjasama ini akan lebih bermakna sekiranya kita dapat berkongsi maklumat antara kita.

“Ketika ingin selesaikan isu penerima bantuan banjir, ketika itulah kita lihat perlunya perkongsian data sebab tanpa perkongsian data antara jabatan, kita boleh hadapi kemungkinan pengumpulan bantuan kepada keluarga tertentu atau yang tak dapat langsung.

“Sesuatu program perlu melibatkan pelbagai agensi dan dari sini kita lihat betapa pentingnya perkongsian data dan bagus dari kebolehcapaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri Pahang dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Holiday Villa Beach Resort and Spa, Cherating.

Turut hadir Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Setiausaha Bahagian Teknologi Maklumat, Dato’ Shuhairi Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts. Dr Kamal Zuhairi Zamli, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perundingan ICT MAMPU, Dr Noorazah Md Noor serta Ketua Polis Pahang, YH. Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin berkata melalui MoU ini khidmat perundingan dan kepakaran dari pihak UMP dapat membantu pegawai-pegawai di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri yang berkemahiran dan berpotensi untuk melaksanakan serta meneruskan inisiatif data raya ini pada masa akan datang.

Katanya lagi, selain daripada kerjasama dalam bidang analitis data raya, usahasama ini juga akan melibatkan penempatan Pusat Pemulihan Bencana (DRC) Negeri Pahang yang baharu secara kolokasi dari bangunan KOMTUR Indera Mahkota ke premis UMP di Pekan.

Pelaksanaan projek ini diharapkan dapat melancarkan lagi penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri kepada rakyat yang menjadi tumpuan utama dalam menjaga aspek kebajikan dan kesejahteraan.

Sumber : PAHANG MEDIA