Anggap Anak Murid Umpama Anak Sendiri – Tokoh Guru 2021

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : “Saya anggap anak murid semua macam anak-anak saya, semua kena dapatkan yang terbaik terutamanya dalam pelajaran,” ujar Encik Sulaiman Hussin.

Penerima Tokoh Guru 2021 (Lelaki) Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) itu berkata beliau hanya mahukan yang terbaik untuk masa hadapan anak-anak muridnya.

“Saya anggap mereka ini (anak murid) macam anak saya, anak saya baik-baik, anak murid pun baik-baik juga. Jadi saya nak mereka pergi ke sekolah, teruskan pelajaran, tak bagi mereka ponteng sekolah.

Penerima Anugerah Tokoh Guru 2021 JAIP, Encik Sulaiman Hussin.

“Ada yang suka dan tak suka cara saya, tapi Alhamdulillah ibu bapa kebanyakkannya bantu dan sokong saya berpakat untuk suruh anak-anak ini pergi ke sekolah juga,” katanya yang telah berkhidmat sebagai guru selama 27 tahun.

Penerima Anugerah Tokoh Guru 2021 JAIP itu membawa pulang Pakej Rehlah bernilai RM6,000, hadiah tunai RM25,000, sijil penghargaan, medal dan bakul makanan bernilai RM1,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr. Haji Zulkifle Ali.

Beliau yang berusia 83 tahun dan berasal dari Kampung Guai, Bera itu melahirkan rasa gembira kerana menerima anugerah yang tidak disangka-sangka ini.

Encik Sulaiman yang juga merupakan guru kepada YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad memulakan kerjayanya sebagai guru sandaran pada 1966 di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Temerloh sebelum bersara pada 1993.

Menurut YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim, beliau pernah menjadi anak murid Encik Sulaiman selama tiga tahun sahaja namun kegigihan gurunya ini masih tersimpan kemas dalam ingatan.

“Sempat sekejap saja belajar dengan beliau, tiga tahun saja sebab beliau pindah sekolah lain tapi beliau memang berdedikasi dan bersungguh-sungguh berkenaan anak murid ini.

“Yang paling saya ingat, beliau cari anak murid sampai ke rumah, siap berpakat dengan mak bapa (pelajar) suruh bawak anak itu ke sekolah kalau ponteng.

“Dan beliau sanggup keluarkan duit beliau sendiri untuk belanja budak-budak sebab nak suruh pegi sekolah,” katanya.

Sementara itu, Puan Zainab Ismail, 77, menyifatkan anugerah Tokoh Guru 2021 (Wanita) ini sebagai rezeki yang tidak disangka.

“Alhamdulillah, anugerah ini saya anggap rezeki daripada Allah SWT kepada saya dan ini juga rezeki kepada anak-anak murid saya juga,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA