Argentina berkabung 3 hari atas kematian Maradona

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PETALING JAYA: Dunia sukan yang sedia suram kerana pandemik Covid-19, bertambah pudar malam tadi susulan kematian legenda bola sepak, Diego Maradona akibat serangan jantung pada usia 60 tahun.

Legenda antarabangsa dari Argentina itu diakui antara segelintir pemain terbaik dunia yang melangkaui zaman.

Kehebatan Maradona berulang kali menembusi benteng lawan dengan larian solo atau gerak kilas bersama rakan sepasukan baik di persada antarabangsa mahupun kelab, masih menjadi sebutan walaupun beliau sekian lama bersara sebagai pemain.

Maradona diabadikan sebagai “Tuhan Bola Sepak” di Argentina selepas mengetuai pasukan negara itu merangkul Piala Dunia pada 1986.

Beliau turut mempunyai jutaan peminat di Itali dan Eropah selepas mengetuai pasukan Napoli untuk meraih 2 kejuaraan Serie A.

Maradona menjadi inspirasi kepada ratusan ribu pemain di seluruh dunia, khususnya mereka yang melihat bola sepak sebagai jalan keluar daripada kancah kemiskinan.

Beliau diiktiraf sebagai pemain berbakat luar biasa yang merempat dalam kemiskinan di usia muda, sebelum sampai di mercu kejayaan sebagai pemain ulung dan idola jutaan peminat.

Bagaimanapun, kejayaan Maradona di padang mainan tercalar dengan masalah-masalah peribadi, termasuk ketagihan kokain. Beliau juga menjalani pembedahan untuk mengurangkan berat badan.

Meskipun demikian, Maradona terus menjadi idola antarabangsa bersama bintang lain seperti Pele dan George Best.

Menurut agensi antarabangsa, Maradona meninggal dunia di kediamannya di pinggiran Buenos Aires, Argentina. Beberapa minggu sebelumnya, beliau menjalani pembedahan untuk masalah pendarahan otak (subdural haematoma).

Kesedihan menyelubungi Argentina apabila berita kematian Maradona disahkan peguam beliau. Di Buenos Aires, orang ramai keluar beramai-ramai untuk menzahirkan dukacita mereka.

Begitu juga di La Plata, di mana Maradona menjadi pengarah teknikal pasukan bola sepak tempatan, Gimnasia y Esgrima.

Kerajaan Argentina mengisytiharkan 3 hari berkabung. Presiden Alberto Fernandez menyifatkan Maradona sebagai “sumber kegembiraan Argentina”.

“Anda membawa kami semua ke puncak paling tinggi di dunia. Anda adalah terbaik. Terima Kasih,” kata Fernandez menerusi mesej Twitternya.

Maradona meninggalkan begitu banyak aksi di padang untuk dikenang dan diabadikan. Mungkin yang paling popular ialah penggunaan tangan beliau untuk “menolak” masuk bola ke pintu gol England semasa perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986.

Maradona mengimbau gol itu sebagai jaringan “Tangan Dewa.”

Tidak lama selepas adegan itu, Maradona mengelecek hampir seluruh barisan pertahanan England untuk membolehkan Argentina meraih kemenangan 2-1.

“Tangan Dewa” berserta kehebatan keseluruhan Maradona sebagai pemain luar biasa akan sentiasa terpahat dalam sejarah sukan dunia.

Sumber: Free Malaysia Today