Barang keperluan di Pahang cukup, tak perlu buat pembelian panik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Orang ramai di negeri ini digesa tidak membuat pembelian panik kerana kedai menjual barangan runcit dan barangan harian dibuka seperti biasa mengikut waktu yang ditetapkan malah bekalan barangan keperluan juga mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, walaupun semua sektor ekonomi ditutup ketika sekatan pergerakan penuh (SPP) pada 1 Jun ini, premis menjual keperluan harian dan makanan dibenarkan beroperasi setiap hari.

Katanya, pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi.

“Tidak perlu bimbang atau panik kerana barangan keperluan dan makanan mencukupi serta mudah diperoleh walaupun dilaksanakan sekatan pergerakan penuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan peniaga menaikkan harga barangan keperluan diminta melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang Aidilfitri 2021 serta bantuan untuk pihak yang terjejas akibat Covid-19 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Tawar bersama Task Force Umno Bahagian Jerantut hari ini.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar, selain premis perniagaan, KPDNHEP Pahang akan turut memantau peruncit, pemborong dan pengilang.

Nazri berkata, secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan di Pahang mencukupi dan mampu menampung keperluan semua.

Sementara itu, tinjauan di sekitar bandar Jerantut terutamanya dipasar raya mendapati, orang ramai tidak melakukan pembelian panik malah suasananya seperti hari biasa.

Sumber: My Metro