Belanjawan Pahang 2022 Dibayang Tidak Akan Pinggir Mana-Mana Pihak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : YAB Menteri Besar Pahang memberikan bayangan Belanjawan 2022 Negeri Pahang tidak akan meminggirkan mana-mana pihak di negeri ini.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata belanjawan yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 bulan hadapan adalah memfokus kepada rakyat.

“Bajet ini (Belanjawan 2022), sudah pasti kita akan kembalikan kepada rakyat. Apa yang kita dapat, hasil yang kita dapat, selepas kita tolak pembayaran gaji, dan kos-kos lain, kita akan serah dalam bentuk wang ringgit dan bentuk lain yang saya tidak boleh umumkan lagi.

“Sebab ianya masih lagi dalam kajian tetapi yang pastinya saya cuba tidak meminggirkan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan PUBG Piala Menteri Besar Pahang di Dewan Orang Ramai Taman Impian di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Beliau berkata belanjawan kali ini juga akan lebih baik daripada yang diumumkan tahun lepas dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Pahang.

“Ia (Belanjawan 2022) ini akan lebih baik dari tahun lepas. Lazimnya begitulah. Sebab saya selalu pesan, apa yang kita buat ini, hendaklah lebih baik daripada semalam,” katanya.

Mengulas mengenai pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan, beliau berkata ia bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Pahang terlebih dahulu.

“Pemberian bonus, ia bergantung kepada kedudukan kewangan (Kerajaan Pahang). Tapi boleh tengok track record yang lepas-lepaslah (pemberian bonus),” katanya.

Belanjawan 2022 Negeri Pahang dijangka akan dibentang pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 6 Disember ini.

Sumber: PAHANGMEDIA