Covid-19: 74 Kematian Dalam Tempoh 14 Hari Di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Terengganu merekodkan 74 kes kematian akibat Covid-19 sejak dua minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, trend peningkatan itu agak membimbangkan dengan lapan kematian direkodkan pada 18 November, sembilan kematian pada 15 November dan 17 November, manakala kematian tertinggi dilaporkan pada 20 November iaitu sebanyak 12 kes.

Katanya, peningkatan kes kematian ini berkemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor.

“Antaranya seperti kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (melebihi dua), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit berumur lebih 50 tahun.

“Contoh komorbid adalah seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi yang meningkatkan risiko seseorang itu mudah dijangkiti dan mendapat gejala serius,” katanya kepada pemberita.

Tambahnya, jumlah kumulatif kematian Covid-19 di Terengganu hingga Selasa ialah 558 kes, manakala jumlah kumulatif kes Covid-19 pula sebanyak 75,051.

Manakala kematian tertinggi direkodkan di daerah Kuala Terengganu dengan 118 kes, diikuti Besut (105), Kemaman (92), Dungun (91), Marang (54), Kuala Nerus (52), Setiu (27) dan Hulu Terengganu (19) sejak bermula pandemik Covid-19.

Sehingga kini, terdapat 4,297 kes aktif di seluruh Terengganu.

Justeru itu, Kasemani menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

Sumber: TRDI News