COVID-19: HUSM Kubang Kerian nafi bilik bersalin, bedah ditutup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian menafikan bilik bersalin di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan Unit Bedah Dependensi Tinggi (SHDU) hospital berkenaan ditutup disebabkan penularan dan kakitangannya positif COVID-19 seperti tular di media sosial.

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim, berkata setakat ini tiada sebarang perkhidmatan di HUSM yang ditutup.

“Hasil tindakan pengawalan efektif sejak tiga hari lalu, tidak ada kes positif COVID-19 baharu dikesan di HUSM dan kini beroperasi seperti biasa dengan semua perkhidmatan rawatan berjalan seperti sedia ada.DISYORKAN UNTUK ANDA

“Dalam perkara membabitkan penularan atau kes disahkan positif COVID-19, hanya pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja boleh membuat pengumuman awal serta pengesahan sesuatu kes COVID- 19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim. - Foto NSTP
Pengarah HUSM, Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim. – Foto NSTP

Ahmad Sukari berkata, dalam situasi sekarang, bilangan pesakit termasuk perkhidmatan di dewan bedah dan bilik bersalin perlu dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata, ia juga memberi ruang dan masa untuk petugas kesihatan, pesakit dan mereka berisiko menjalani ujian saringan.

“Pengurangan pesakit di hospital ini juga selepas mengambil kira situasi semasa jangkitan COVID-19 termasuk kluster sekitar negeri ini yang menunjukkan peningkatan.

“Pada masa sama, pengurangan bilangan pesakit pada November juga adalah rutin setiap tahun disebabkan penuntut di Kampus Kesihatan USM menduduki Peperiksaan Sarjana Perubatan yang dilaksanakan dalam tempoh berkenaan berdasarkan jadual akademik,” katanya.

Ahmad Sukari berkata, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja serta pelanggan HUSM, termasuk pesakit serta waris menjadi keutamaan pengurusan.

“Pengurusan sudah melaksanakan tindakan segera bagi mengawal jangkitan dan pada masa sama berusaha memastikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit tidak terjejas.

“Sebagai langkah kawalan, HUSM proaktif menjalankan sanitasi sekitar premis secara kerap dan menggiatkan kempen amalan norma baharu kepada warga kerja serta pelanggan,” katanya.

Sumber: BH Online