Kelantan Komited Menyediakan Rumah Dhuafa’ Bernilai RM55 Ribu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan komited menyediakan kediaman selesa kepada rakyat yang kurang berkemampuan dengan menyediakan Rumah Dhuafa’ bernilai RM55,000 sebuah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima RM220,000 untuk menyediakan empat buah rumah dalam tempoh setahun.

Katanya, sebelum ini kos untuk pembinaan sebuah Rumah Dhuafa’ ialah RM45,000 sebuah, namun kadar itu dinaikkan sejajar dengan kenaikan kos barangan pembinaan.

“Program ini membuktikan usaha dan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membantu rakyat untuk mempunyai kediaman yang selesa. Penerima Rumah Dhuafa’ juga adalah dalam kalangan golongan asnaf yang layak.

“Selain itu, pemilihan dilakukan melalui maklumat penghulu dan pejabat DUN untuk tujuan tapisan supaya yang benar-benar layak dipilih.

“Rumah yang dibina juga adalah mengikut pelan, reka bentuk dan kos pembinaan yang sama,” katanya.

Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor, turut berkongsi sebanyak 30 buah rumah sudah diserah kunci dalam kawasan DUN itu, manakala empat lagi rumah dijangka disiapkan pada tahun 2023.

“Untuk makluman, ketika bencana banjir besar 2014, sebanyak 2,600 buah rumah percuma dibina untuk mangsa yang kehilangan kediaman dan tempat tinggal.

“Semuanya siap sebelum Ramadan 2015 dan rakyat boleh berpuasa serta beraya bersama keluarga masing-masing di kediaman baru yang lebih selesa,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN