Kerajaan Giat Harungi Rintangan Wujudkan Peluang Pekerjaan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 telah menjadi suatu cabaran buat kerajaan dalam usaha membangunkan negeri Terengganu dari sudut meningkatkan ekonomi rakyat serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasrat berkenaan mengalami sedikit kesulitan kerana suasana yang ada memberi kesan kepada kemasukan pelaburan namun kerajaan tetap optimis.

“Situasi semasa pelaburan yang menunjukkan projek-projek besar boleh menghasilkan peluang pekerjaan yang banyak itu dengan sendirinya kini mengalami proses yang sukar.

“Pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat kesan berantai disebabkan pandemik Covid-19, walaupun begitu insiatif masih berjalan, saya tak nak sebut berapa jumlahnya, tetapi masih mencapai bilion jumlah pelaburan yang masuk terutama dari syarikat Petronas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap  merasmikan Program Sidang Meja Bulat Pimpinan NGO Terengganu Di Perantauan Berserta Majlis Iftar Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri, di Sunway Putra Hotel, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pegawai Kewangan negeri, Samiun Salleh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urus Setia, Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Mohd Nasir Abdul Razab dan Ketua Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.

Mengulas lanjut, Dr Samsuri berkata, dari sudut nilai semasa telah mengalami perubahan yang ketara.

“Fakta yang sangat penting untuk diperhalusi  ialah 200 juta nilai pelaburan pada 10 tahun dahulu jika dibandingkan pada waktu ini berbeza, dahulu ia membawa maksud akan mencipta peluang pekerjaan yang banyak.

“Saya hendak kongsi satu projek oleh Petronas telah dihasilkan dalam setahun dua ini, namun peluang pekerjaan itu masih berada di tahap rendah yang dahulunya boleh menghasilkan ribuan peluang apatah lagi selepas wujudnya Revolusi Industri 4.0.

“Semua orang bercakap dan teruja sedangkan kita tak sedar bahawa ia memberi kesan kepada anak-anak Terengganu dari sudut berkenaan,” ujarnya.

Namun katanya, komitmen pihak kerajaan dalam usaha berkenaan terus dilakukan dengan pelbagai insiatif serta program yang diadakan.

Dalam pada itu katanya, pertemuan di antara pihak kerajaan bersama perantau melalui perbincangan sidang meja bulat tersebut sangat bermanfaat.

“Sebagai satu komitmen untuk bersama-sama bertemu dan mengadakan perbincangan bagi mengemukakan idea-idea yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam usaha untuk kita melaksanakan apa jua kebaikan bagi membangunkan negeri Terengganu ke arah sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” ujarnya.

Sumber: TRDI News