SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Lari tinggalkan 1.1 juta batang rokok seludup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Polis merampas 1.1 juta batang rokok seludup susulan penahanan sebuah lori menerusi Op Kontraban di Jalan Kelaboran di sini, pagi hari ini.

Lori jenis Isuzu itu ditahan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) pada jam 6.15 pagi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya mengekori kenderaan itu dari Kampung Pulau Tengkorak dan dipercayai memunggah rokok putih jenama Manchester merah daripada kawasan terbabit.

“Sebaik pemandu lori menyedari kenderaannya diekori, dia memberhentikan lori dan melarikan diri.

“Bagaimanapun, pencarian di sekitar lokasi tidak menemui lelaki itu dan pemeriksaan dalam lori terbabit menemui 118 kotak besar yang mengandungi 5,900 karton rokok putih.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah RM885,000 termasuk cukai,” katanya ketika sidang media di Kompeni Taktikal Kuala Jambu di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah PGA8, Superintendan Mat Shukor Yusof dan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud.

Muhamad Zaki berkata, rokok putih itu dipercayai diseludup dari Thailand, untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan.

Menurutnya, ketika ditahan, lori berkenaan dipercayai dalam perjalanan menghantar rokok putih terbabit kepada pelanggan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu berdasarkan maklumat pada kenderaan bagi mengetahui sama ada dia terbabit secara langsung atau hanya menerima upah untuk kerja penghantaran.

“Memandangkan jumlah rokok yang dirampas ini agak besar, kita percaya ia membabitkan sindiket dan mungkin akan ada lagi beberapa siri rampasan selepas ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kami akan mempergiatkan lagi operasi membanteras sindiket penyeludupan rokok tidak berkastam seperti ini kerana ia menyebabkan kerugian cukai sebanyak RM5 bilion setahun kepada negara,” katanya.

ANTARA rokok seludup yang dirampas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ANTARA rokok seludup yang dirampas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sumber: My Metro