Lemas Di Kolam Renang Ketika Bercuti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LABUAN: Percutian sekeluarga di sebuah villa di sini, berakhir tragedi apabila anak mereka berusia enam tahun lemas ketika mandi di kolam renang di kawasan villa berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Unit Kecemasan Hospital Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menginap di villa berkenaan bersama kanak-kanak lain pergi mandi di kolam renang yang terletak di hadapan villa.

Katanya, ibu mangsa berada di tepi kolam dan mengawasi mangsa mandi bersama kanak-kanak yang lain.

“Kira-kira 15 minit kemudian, semua kanak-kanak yang mandi di dalam kolam itu diarah untuk masuk ke dalam villa.

“Namun, ibu mangsa tidak melihat anaknya lalu masuk ke dalam rumah untuk mencari mangsa.

“Selang beberapa minit, beberapa kanak-kanak menjerit di kawasan kolam kerana menemui mangsa di dalam kolam dengan keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, mangsa kemudian diangkat ke tepi kolam sebelum diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia dan siasatan awal mendapati bahawa tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan di talian 087-412222.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN