Malaysia Kecam Pengeboman Di Kerman, Iran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya letupan bom di kawasan Perkuburan Kerman di bandar Kerman, Iran pada Rabu.

Menerusi kenyataan, Kementerian Luar Negeri menegaskan, Malaysia menolak sebarang aktiviti keganasan dan menyeru agar mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dengan kadar segera.

“Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini serta kepada kerajaan dan rakyat Iran.

“Malaysia turut mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera,” kata kementerian itu pada Khamis.

Ujarnya, tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi itu setakat ini.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tehran akan terus memantau perkembangan semasa dan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini,” ujar KLN.

Tambah kementerian itu, rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada di bandar Kerman, dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan semasa, mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mematuhi nasihat perjalanan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Untuk sebarang bantuan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di alamat No 25, 2nd Alley, North Zarafshan St, Shahrak-e-Gharb atau talian 98 21 880724444, 98 21 88078606 atau mwtehran@kln.gov.my dan mwconsular.teh@gmail.co,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua siri letupan berlaku selang kira-kira 15 minit, melanda berhampiran Tanah Perkuburan Syuhada di Masjid Saheb al-Zaman di Kerman, kampung halaman selatan Soleimani, ketika orang ramai hadir memperingati jeneral Pengawal Revolusi Qasem Soleimani.

– SINAR HARIAN