Malaysia Melonjak Nombor Sembilan Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BHUBANESWAR: Pasukan hoki lelaki negara melonjak ke kedudukan kesembilan dunia selepas menewaskan New Zealand 3-2 pada aksi peringkat Kumpulan C saingan Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, di sini, semalam.

Mata ranking menjadi salah satu misi yang ingin dicapai skuad Speedy Tigers pada saingan Piala Dunia kali ini memandangkan ia akan menentukan ‘corak’ kumpulan bagi Piala Asia di China nanti.

Malaysia meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas pada kejohanan berkenaan dan seterusnya layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sejak kali terakhir beraksi di Sydney 2000.

“Dengan meraih dua kemenangan (3-2 ke atas Chile dan New Zealand), kami bukan saja semakin hampir ke suku akhir tetapi juga menganjak ke kedudukan kesembilan di dunia.

“Ranking sangat penting buat Malaysia untuk penentuan kumpulan, katakan bersama India dan Korea Selatan di Sukan Asia. Ini adalah untuk mengelak pertembungan awal dan hanya bertemu mereka di pusingan kalah mati.

“Buat masa ini, India berada di ranking tertinggi pasukan Asia iaitu di kedudukan keenam manakala Korea Selatan ke-10. Semua ini akan berubah apabila tamat Piala Dunia. Sebab itulah ia pentina buat Malaysia menewaskan Sepanyol dan mara ke suku akhir,” kata pengendali pasukan, Arul Selvaraj.

Kedudukan terbaik Malaysia adalah berada di tempat keempat pada Piala Dunia di Kuala Lumpur 1975. Selepas itu, berada di ranking kelapan ketika Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah pada 2002.

Di sini, skuad Speedy Tigers tewas 4-0 di tangan Belanda sebelum bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut iaitu menumpaskan Chile dan New Zealand – dan pasukan di kedudukan kelapan dunia, Sepanyol menjadi seteru Malaysia selepas ini.

Sumber: BERITA HARIAN