Masyarakat Siam di Tumpat Rugi Ribuan Ringgit Akibat Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Sebilangan masyarakat Siam di Kampung Jubakar Darat, di sini, terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit apabila barang-barang perniagaan dan peralatan rumah mereka rosak akibat banjir, termasuk yang berlaku baru-baru ini.

Peniaga kedai runcit Ke Pot En Ding, 56, berkata sejak 22 tahun berniaga di kampung itu, dia terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit setiap tahun.

“Tahun ini sahaja sudah dua kali banjir iaitu pada Februari dan bulan ini, banyak barangan runcit untuk jualan dan peralatan di kedai rosak serta terpaksa dibuang.

“Awal minggu ini apabila banjir berlaku, air naik terlalu cepat pada waktu malam sehingga mengakibatkan kedai saya ditenggelami air separas pinggang, banyak barang runcit tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Ke Pot berkata kejadian banjir terbaharu ini, dia menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM5,000.

“Mahu berpindah ke tempat lain tidak berkemampuan dan tidak mempunyai tanah. Kedai dan rumah ini ialah pusaka orang tua kami, entah berapa lama lagi kami akan menghadapi banjir yang berlaku setiap tahun ini,” katanya sambil menambah air banjir mulai surut sejak semalam.

Bagi Mek Kedi Eh Kelin, 58, dia kini tidak lagi menggunakan banyak barangan perabot kayu bagi mengelakkan kerugian akibat banjir.

“Sekarang saya guna almari besi, rak plastik yang lebih murah kerana tidak mahu membuang wang ribuan ringgit untuk membeli perabot baharu kerana banjir.

“Setiap tahun air banjir akan memasuki rumah saya separas pinggang dan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk surut,” katanya.

Sumber :  BERNAMA