Mohon MKN benarkan rentas daerah sepanjang PKPB

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri Terengganu memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan permohonan merentas daerah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan mengusulkan permohonan rentas daerah itu pada mesyuarat MKN negeri, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi merancakkan kembali pelancongan domestik yang terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula awal Januari lalu.

“Sejak pelaksanaan PKP, industri pelancongan terjejas dan Terengganu turut menerima tempias apabila terjejas hampir 90 peratus.

“Jika kebenaran rentas daerah dibenarkan, ia memberi peluang kepada rakyat Terengganu melawat dan melancong di dalam negeri ini seterusnya memupuk sifat menyayangi terhadap produk pelancongan yang ada.

“Malah, penggiat pelancongan boleh bernafas dan mereka turut menyediakan pakej istimewa demi kelangsungan industri sebagai galakan mengajak rakyat Terengganu melawat dan menginap di tempat mereka seterusnya menjana semula aktiviti sosial ekonomi dan peningkatan ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui sempena Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu Berkat (Sektor Pelancongan) di Kampung Budaya di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Huzaril Nizam Ibrahim.

Pada program itu, seramai 147 orang menerima bantuan RM300 setiap seorang membabitkan peruntukan RM44,100.

Ia membabitkan 44 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud serta 103 pemandu pelancong bandar dan alam semula jadi yang akan diagihkan terus secara berperingkat ke dalam akaun penerima.

Dalam pada itu, Ariffin turut bercadang supaya penggiat pelancongan di Terengganu menjadi antara penerima awal vaksin Covid-19.

Katanya, terdapat lebih 5,000 penggiat pelancong di negeri dan suntikan vaksin wajar diberikan kepada mereka yang selalu berdepan dengan masyarakat.

Sumber: My Metro