Pemangku Raja Pahang Sempurnakan Penyampaian Darjah, Pingat Kepada 166 Penerima

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH – Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenaan menyempurnakan penyampaian Darjah Kebesaran dan Pingat negeri Pahang kepada 166 penerima.

Istiadat sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang itu telah berlangsung di Dewan Tun Razak, di sini yang turut menyaksikan keberangkatan Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan negeri Pahang serta ketua-ketua jabatan.

Pada istiadat itu, 15 penerima dikurniakan darjah kebesaran Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), 23 individu menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Pahang (SMP), dan 18 penerima darjah kebesaran Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP).

Seramai 31 individu pula dikurniakan Ahli Mahkota Pahang (AMP), masing-masing 23 individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT), serta 33 individu dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Sementara itu, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Madzlan Aziz, 64, yang mendahului senarai penerima SAP, ketika ditemui pemberita menjunjung kasih atas pengurniaan darjah berkenaan dan menyifatkannya sebagai pendorong untuk terus berkongsi ilmu setelah 40 tahun berkhidmat dalam bidang kepakaran kimia.

“Kebiasaanya, kita terima penghargaan di dalam organisasi, tetapi kali ini di peringkat negeri dan saya amat bersyukur,” katanya yang pernah diiktiraf sebagai penyelidik terbaik sekitar 2005 dan kini berkhidmat secara kontrak di Fakulti Sains UTM. 

Timbalan Naib Cancelor (Pembangunan) UTM Profesor Dr Mohd Hamdan Ahmad, 59, yang turut menerima darjah kebesaran SAP, menzahirkan rasa syukur dan ia merupakan pengiktirafan kepada ahli akademik.

“Bagi saya, ini merupakan penghargaan kepada anak kelahiran Pahang yang berkhidmat di luar negeri ini yang akan dijadikan sebagai pemangkin semangat kami untuk terus menyumbang ilmu kepada masyarakat,” kata anak kelahiran Pekan itu yang telah berkhidmat lebih 30 tahun di UTM.

– BERNAMA