Pemberian dos penggalak di Kelantan masih rendah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Pemberian dos penggalak di Kelantan masih rendah kerana kurang mendapat sambutan daripada penduduk negeri ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemberian dos penggalak setakat semalam adalah sebanyak 64,810 dos.

Katanya, semalam pemberian harian dos penggalak adalah sebanyak 2,934 dos.

“Ini menunjukkan pemberian terhadap dos ini tidak mendapat sambutan daripada penduduk kerana kemungkinan mereka merasa sudah mencukupi dengan dua dos yang diambil sebelum ini.

“Namun, suka saya nyatakan pengambilan dos penggalak juga amat penting bagi mengelakkan diri dijangkiti wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dr Zaini berkata, bagi mereka yang sudah lengkap dua dos dan mahu mengambil dos penggalak boleh hadir ke klinik atau hospital yang terdekat untuk mendapatkan vaksinasi.

Pada masa yang sama beliau berkata, bagi pemberian dos lengkap Covid-19 pula mencatatkan sebanyak 79.1 peratus bagi dos lengkap atau 1,140,420 dos dan 81.5 peratus bagi satu dos atau 1,182,846 dos.

“Sementara itu, bagi vaksinasi remaja merekodkan sebanyak 77.3 peratus bagi dos lengkap dan 83.5 peratus satu dos.

“Bagi vaksinasi golongan remaja ini mendapat sambutan, namun masih ada yang enggan mengambil vaksin. Justeru itu, kita harap ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksinasi,” katanya.

Beliau menasihatkan masyarakat negeri ini terus patuh prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sumber: My Metro