PM Sepanyol Selar Atletico Insiden Perkauman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BARCELONA – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengkritik Atletico Madrid kerana tidak tegas berdepan kecaman perkauman daripada pemain mereka terhadap pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior.

Kelab itu kemudian mengeluarkan kenyataan mengatakan insiden itu “tidak boleh diterima” dan pihaknya tidak akan berhenti selagi mereka yang melakukannya tidak ditemui dan dikenakan hukuman.

Sebahagian kawasan penyokong melaungkan “Awak monyet, Vinicius, awak monyet,” sebelum dan ketika kemenangan 2-1 Real Madrid mengatasi Atletico di Stadium Metropolitano pada Ahad manakala objek seperti pemetik api juga dibaling kepada pemain Brazil itu dan rakannya, Rodrygo ketika meraikan jaringan.

“Saya adalah penyokong Atletico Madrid, jadi saya sangat sedih,” kata Sanchez kepada Politico ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

“Saya mengharapkan mesej yang kuat daripada kelab berkaitan kelakuan seperti ini, ini yang saya minta daripada pasukan saya. Saya rasa adalah penting kelab bola sepak mengambil serius perkara ini dan bertindak.”

La Liga akan membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin Persekutuan Bolasepak Sepanyol, namun Atletico tidak memberi komen hingga lewat semalam.

“Atletico Madrid mengutuk tindakan tidak boleh diterima sebahagian kecil penyokong yang menyanyi di luar stadium sebelum pertembungan dengan jiran itu,” kata kelab itu.

“Sekumpulan kecil tidak boleh mencemarkan imej ribuan lagi penyokong Atletico yang memberi sokongan buat pasukan mereka dengan keghairahan dan rasa hormat kepada lawan.”

Sumber : BERITA HARIAN