SEGMEN TERKINI

MANIS FM

GAYA PANTAI TIMUR

Produk pertanian tak sampai ke pengguna, namun terdapat lambakan di ladang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Pengukuhan sistem makanan negara adalah tumpuan utama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, dalam hal berkenaan, isu dan kekangan di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke pembaziran makanan termasuk produktiviti akan ditangani secara bersasar.

Menurutnya, isu dan kekangan itu akan ditangani secara bersasar melalui penerapan mekanisma dan automasi serta kerjasama pintar bersama pihak swasta.

“Rantaian pemprosesan produk makanan sebenarnya perlu dilihat dalam konteks yang holistik, sebagai contoh dari sudut logistik dan industri sokongan yang lain.

“Isu yang sering dibangkitkan adalah produk pertanian yang tidak sampai ke tangan pengguna walaupun terdapat lambakan di peringkat ladang.

“Saya melihat isu ini berkait rapat dengan isu pemasaran. Dalam hal ini, Mafi juga menggalakkan pemasaran dalam talian atau e-dagang sebagai alternatif kepada kaedah konvensional,” katanya mengulas laporan khas isu sekuriti makanan disiarkan Metro Ahad, kelmarin.

Laporan khas itu mendedahkan pengimportan makanan dalam lima tahun naik 22.3 peratus iaitu kepada RM55.4 bilion pada 2020 berbanding RM45.3 bilion pada 2015.

Ronald turut ditanya pandangannya persoalan awam mengenai rantaian pemprosesan produk makanan selain pengeluar makanan seperti petani atau peladang tidak cukup efisien dalam menyediakan bekalan makanan mengikut masa atau kuantiti yang diperlukan.

Beliau berkata, jabatan dan agensi seperti Jabatan Pertanian Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sudah memainkan peranan yang proaktif dengan menjalinkan hubungan dan kerjasama lebih erat dengan pemain industri.

“Inisiatif sudah dilaksanakan adalah memadankan pengeluar dan pengusaha hasil pertanian dengan pengusaha platform e-dagang Business to Consumers (B2C) dan Business to Business (B2B) untuk meningkatkan kebolehpasaran hasil pertanian bagi pasaran domestik seterusnya ke pasaran antarabangsa.

“Mafi sedang terus menggiatkan kerjasama dengan semua pemain industri dalam merancakkan lagi pemasaran, sekali gus meningkatkan pendapatan warga tani.

“Selain itu, Fama, LPP dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) juga memperkasakan platform pemasaran sendiri iaitu Agrobazaar Online (ABO), epeladang dan Nekmatbiz,” katanya.

Menurutnya, dalam melalui cabaran penularan pandemik Covid-19, ramai pengguna sudah beralih menggunakan e-dagang dan kesempatan ini perlu direbut kerana adalah antara norma baharu perniagaan yang akan memberi impak luar biasa dalam

industri agromakanan.

Ronald berkata, usaha memperkasakan pemasaran dalam talian juga secara tidak langsung dapat menangani isu kebergantungan kepada orang tengah.

Ditanya usaha Mafi untuk menangani kos tinggi pengeluaran makanan tempatan menyebabkan produk akhir dijual mahal sehingga ramai memilih produk makanan import yang ditawarkan lebih murah di pasaran, katanya, hakikatnya kos pengeluaran makanan tempatan dipengaruhi beberapa faktor.

“Antara faktor itu termasuk input, utiliti, tenaga kerja, pengangkutan dan sebagainya. Kos input seperti benih, baja dan racun yang banyak bergantung kepada import dan skala pengeluaran yang tidak ekonomik juga menyebabkan harga produk makanan negara

kurang kompetitif.

“Bagi mengatasi masalah kos, Mafi akan terus memberikan sokongan melalui insentif input, khidmat nasihat teknikal dan sokongan kewangan bagi membantu meningkatkan pengeluaran dan produktiviti oleh golongan sasar di samping dapat mengurangkan kos pengeluaran.

Sumber: My Metro