Rugi RM512,000 diperdaya urusan permit bauksit tidak wujud

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Seorang pengurus syarikat kerugian lebih setengah juta ringgit selepas diperdaya seorang individu dalam urusan pembelian permit pengeksport bauksit tidak wujud, empat tahun lalu.

Mangsa berusia 52 tahun bersama tiga rakan kongsi menubuhkan syarikat pada 2017 kerana berminat dalam urusan eksport bahan mineral itu, namun akhirnya berputih mata apabila wang dilaburkan lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila seorang daripada rakan kongsinya berurusan dengan seorang lelaki dipercayai boleh menjual permit eksport bauksit di sekitar Kuantan.

“Setelah berbincang, semua rakan kongsi bersetuju untuk berurusan dengan suspek bagi tujuan itu. Mangsa turut menyatakan hasrat untuk membeli permit eksport dengan syarikat milik suspek bernilai RM9 satu tan dan bersetuju untuk membeli 50,000 tan yang dianggarkan bernilai RM450,000.

“Selepas itu, rakan kongsi mangsa mengeluarkan cek syarikat dan memberi kepada suspek di Jalan Tun Ismail, Kuantan pada 10 Januari 2017 sebagai persetujuan membeli bahan mineral itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada Mac 2017, rakan kongsi mangsa mempunyai masalah peribadi dan menghilang diri serta gagal dihubungi sehingga kini.

Menurutnya, susulan itu mangsa mengambil alih tanggungjawab untuk berurusan dengan suspek dalam urusan pembelian permit bauksit.

“Suspek kemudian meminta mangsa membayar yuran guaman sebanyak RM10,000 bagi tujuan pengeluaran permit.

“Pada 10 April 2017, mangsa menyerahkan wang tunai seperti diminta di sebuah restoran di Indera Mahkota dan empat hari kemudian, mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran RM3,000 untuk memperbaharui permit eksport,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, pada 18 Mei 2017, suspek meminta mangsa membayar RM3,000 untuk memperbaharui permit eksport dan wang itu diserahkan secara tunai pada hari sama.

Beliau berkata, mangsa menyerahkan wang secara tunai dan mengeluarkan resit atas nama suspek sebelum suspek terus meminta mangsa membayar pelbagai bayaran dan menjadikan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM512,000.

“Selepas semua pembayaran dibuat hingga kini, mangsa tidak memperoleh sebarang permit eksport bauksit daripada suspek.

“Mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Sumber: My Metro