Selangor, Sabah Berentap di Suku Akhir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Selangor melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan jiran tetangga, Kuala Lumpur (KL) City 1-0 dalam aksi pusingan kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Ketika ramai pihak menjangkakan aksi sengit bakal disajikan kedua-dua pasukan, sebaliknya perlawanan bermula hambar yang menyaksikan babak pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Jaringan yang ditunggu Selangor hanya hadir selepas sejam permainan apabila pemain gantian, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau tenang menyempurnakan peluang di dalam kotak penanti pada minit ke-62.

KL City cuba bangkit memburu gol penyamaan dan percubaan Jordan Mintah dari luar kotak penalti pada minit ke-84 diselamatkan penjaga gol, Sam Somerville.

Kedudukan 1-0 memihak Selangor kekal hingga wisel penamat, sekali gus memberi kelegaan kepada pengendalinya, Michael Feichtenbeiner yang sebelum ini berada di bawah tekanan.

Pengendali dari Jerman itu berdepan desakan daripada penyokong Gergasi Merah supaya meletak jawatan susulan prestasi kurang memberangsangkan Selangor dalam saingan Liga Super.

Selangor yang kali terakhir memenangi Piala FA pada 2009 akan berdepan Sabah di suku akhir dengan aksi itu akan berlangsung di Stadium Likas, 23 Julai ini.

Sumber: BERITA HARIAN