Skim internet untuk B40, M40 di Selangor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Shah Alam: Kerajaan Selangor menawarkan kemudahan internet tanpa had kepada golongan B40 dan M40 di Selangor yang kini berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya menyedari akses kepada internet adalah nadi kelangsungan perniagaan dan pembelajaran golongan berkenaan.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri melancarkan program Data Internet Selangor membabitkan penawaran bersubsidi kad SIM dengan kemudahan data internet tanpa had kepada golongan sasaran khasnya dari golongan B40 dalam masa terdekat.

“Seramai 70,000 individu disasarkan termasuk mereka yang terdiri daripada penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi gig.

“Program ini dengan peruntukan sebanyak RM17.5 juta akan menawarkan produk kad SIM data internet tanpa had dengan kadar istimewa RM35 sebulan yang akan diberi subsidi RM20 sebulan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) untuk tempoh 12 bulan.

“Oleh Itu, setiap penerima hanya perlu membayar RM15 dan selebihnya RM20 akan dibayar oleh MBI,” katanya dalam pengumuman khas Pakej Kita Selangor 2.0 secara maya, semalam.

Bagi golongan M40 pula katanya, MBI akan menawarkan Skim Internet Selangor khusus bagi golongan M40 (SISM40).

“Inisiatif yang pertama kali dilaksanakan dengan kerjasama syarikat swasta negara iaitu Telekom Malaysia (TM) ini memperuntukkan subsidi internet khusus kepada rakyat negeri Selangor.

“Negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor Melalui inisiatif ini di mana terdapat lapan pakej diperkenalkan melalui Pakej Keluarga, Pakej Bujang dan Pakej Asas.

“Melalui langganan pakej-pakej itu, setiap isi rumah akan berpeluang menikmati subsidi antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun.

“SISM40 akan dibuka kepada rakyat di negeri Selangor bermula 1 Julai depan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan semua 56 pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor dalam usaha memastikan seramai mungkin mereka yang layak untuk mendapat manfaat SISM40 ini.

Sumber: My Metro