Skuad Hoki Cemas Sebelum Bangkit Benam Chile

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara kembali menghidupkan peluang untuk memburu slot ke pusingan kalah mati apabila bangkit melakar kemenangan 3-2 ke atas Chile dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India, sebentar tadi.

Selepas tewas 0-4 di tangan juara tiga kali, Belanda dalam aksi pembukaan, kelmarin, kemenangan di Stadium Hoki Birsa Munda Rourkela, hari ini cukup penting sekali gus pintu kembali terbuka buat anak buah Arul Selvaraj untuk sekurang-kurangnya beraksi dalam playoff bagi memburu tempat ke suku akhir.

Malaysian Tigers perlu sekurang-kurangnya menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua atau ketiga bagi membolehkan mereka layak beraksi di aksi playoff.

Terdahulu, aksi bertemu Chile berlangsung sengit dan mendebarkan apabila lawan terlebih dahulu mendahului Juan Amoroso yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-20.

Bagaimanapun, Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Razie Abd Rahim yang menyempurnakan penalti diperoleh pada minit ke-26.

Tiga minit kemudian, Chile kembali di depan menerusi gol padang yang disudahkan Martin Rodriguez tetapi skuad negara sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Ashran Hamsani juga menerusi gol padang pada minit ke-41.

Penyerang, Norsyafiq Sumantri muncul wira negara apabila meledak gol kemenangan apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-42 sekali gus memastikan tiga mata berharga menjadi milik Malaysia dalam perlawanan itu.

Skuad negara akan melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang New Zealand di Stadium Kalinga Bhubaneswar, Khamis ini.

Sumber : BERITA HARIAN