Tahan 5 lelaki, rampas 2,600 pil yaba

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Polis Kelantan merampas 2,600 biji pil yaba dan menahan lima individu menerusi serbuan Op Tapis, di sini, semalam.

Serbuan bermula jam 4.20 petang sehingga 8.30 malam itu membabitkan rampasan bernilai RM26,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar, berkata operasi dilakukan di dua lokasi iaitu di hadapan kedai makan Jalan Pengkalan Chepa dan sebuah rumah di Kampung Pantai Kundor.

Katanya, serbuan pertama membawa kepada penahanan tiga lelaki sebelum serbuan kedua membabitkan tangkapan dua lelaki.

“Hasil serbuan berkenaan, kita membuat sitaan terhadap empat kenderaan termasuk sebuah Proton Persona dan tiga motosikal serta rantai leher emas.

“Kesemua lima suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun. Hasil siasatan kita mendapati, tiga daripada suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Sheik Azhar berkata, berlaku bergelutan diantara pihak polis dan suspek ketika serbuan dilakukan sebelum kesemua mereka ditahan.

“Polis Kelantan akan meningkatkan operasi dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan pengedaran dadah di negeri itu,” katanya.

Sumber: My Metro