Tak Sempat Berbelanja Di Bazar, 2 Maut Kemalangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR GAJAH: Perjalanan pekerja restoran dan anak saudaranya untuk membeli belah di Bazar Aidilfitri bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas merempuh pokok di Jalan Lendu, Masjid Tanah, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38.

Menurutnya, seorang lagi saudara mangsa yang duduk di belakang dikenali Azizul Hamis@Jainy, 38, mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Hospital Alor Gajah.

“Siasatan awal mendapati kereta dipandu Muhammad Hasraf dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke Masjid Tanah untuk berbelanja di bazar Aidilfitri dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pokok di kiri jalan.

“Pelanggaran menyebabkan pemandu dan bapa saudaranya yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang yang juga bapa saudara pemandu cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arshad berkata, mayat mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dirawat di Zon Merah hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: METRO