Taklimat Pengurusan Bencana Persiap Barisan Hadapan Urus Pusat Pemindahan Bencana

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH: Penganjuran Taklimat Pengurusan Bencana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi Zon Tengah Pahang anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang (SUK) merupakan salah satu usaha dalam mempersiapkan barisan hadapan bagi menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh.

Seramai 450 peserta barisan hadapan terdiri daripada ahli jawatankuasa Pusat Pemindahan, Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah, agensi-agensi kerajaan, guru-guru besar dan pengetua, ketua polis balai, penghulu mukim serta pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Penolong Pengarah Sekretariat dan Pengurusan Bencana Operasi Negeri Pahang, Mejar Mohd Zairosnizam Mohd Tarmizi.

Penolong Pengarah Sekretariat dan Pengurusan Bencana Operasi Negeri Pahang, Mejar Mohd Zairosnizam Mohd Tarmizi berkata, taklimat yang telah diadakan melibatkan tiga zon di Pahang iaitu zon barat, zon timur dan terakhir ialah zon tengah melibatkan kesemua 10 daerah bagi menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing sekiranya berlaku bencana termasuklah banjir yang kerap terjadi pada musim tengkujuh.

“Mereka ini juga barisan hadapan sekiranya berlaku bencana sementara menunggu agensi-agensi berkaitan respon, sebab apabila berlaku sesuatu bencana itu, aktiviti pengurusan bencana akan berlaku serentak, agensi penyelamat dengan tugas-tugasnya, PPS nak kena buka sementara komuniti perlu dipindahkan. Jadi dengan kerjasama padu ini saya percaya untuk situasi bencana seperti banjir yang berlaku pada awal tahun ini dapat ditangani dengan baik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Taklimat Pengurusan Bencana  di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)A bagi Zon Tengah melibatkan Daerah Maran, Temerloh, Jerantut dan Bera yamg diadakan di Dewan Tun Razak, Temerloh.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Encik Zulkhairi Zainol Abidin; Pegawai Daerah Maran, Encik Sharuddin Jali dan Setiausaha Bahagian Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Julizawati Kamarudin.

Sementara itu, Encik Zulkhairi berkata, menerusi sesi taklimat ini juga, beberapa penambahbaikan akan dilakukan selain menjelaskan tentang sistem pengurusan dan peranan agensi-agensi dalam menghadapi bencana.

“Alhamdulillah program ini memberi banyak manfaat kepada semua pihak kerana mereka inilah yang berada di barisan hadapan di dalam menguruskan bencana, jadi komunikasi itulah yang amat penting, hubungan dua hala dan pemahaman terhadap peranan agensi dan kita memperkasa peranan ketua kampung, penghulu dan guru besar dan pemimpin tempatan ini untuk memastikan penglibatan komuniti itu sendiri dalam mengendalikan bencana,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA