Tanah Seluas 20 Ekar Di Kuala Tekal Dikenalpasti Sebagai Tapak STW

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Tanah seluas 20 ekar di Kampung Kuala Tekal di Kerdau telah dikenalpasti sebagai tapak Skim Tanah Warisan (STW) bagi kawasan Dewan Negeri Kerdau.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kerdau berkata, dijangkakan tapak STW berkenaan dapat menyediakan antara 80 hingga 100 lot tapak rumah.

Jelasnya, STW yang diperkenalkan oleh YAB Menteri Besar Pahang ini berkonsepkan untuk penyediaan lot tapak rumah kepada penduduk terutamanya generasi muda.

“Kerajaan Pahang juga bakal melengkapkan keperluan infra seperti longkang, penyaluran air, api serta kerja menambun atau mengorek jika diperlukan.

“Usaha murni ini bukan sahaja memudahkan pemohon memperolehi tapak secara ringkas, cepat dan kos paling manima. Tetapi ia juga meringankan beban penyediaan lot yang teratur rapi dengan prasarana yang secukupnya. Ini sudah pasti mampu meringankan beban pemohon,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, pemohon hanya memilih untuk membina sendiri rumah atau meminta bantuan Kerajaan menyediakan pemaju untuk membina rumah dengan plan yang standard serta kos yg dipersetujui.

Bagaimanapun katanya, skim ini ada syarat iaitu antaranya tidak pernah memiliki rumah, pendapatan yang sememangnya sukar memiliki rumah secara bersendiri.

Sumber: PAHANGMEDIA